KL City FC bakal berdepan Lion City Sailors dalam saingan Shopee Cup tanpa kelibat tiga tonggak utama.
Tiga tonggak tersebut ialah Brendan Gan, Jovan Motika dan J. Partiban. Brendan terpaksa disisihkan daripada perancangan jurulatih The City Boys, Miroslav Kuljanac akibat kecederaan.
Bekas kapten Selangor FC itu mengalami kecederaan tersebut dalam aksi suku akhir kedua Unifi Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 21 Disember lalu.
Pemain sayap Bosnia-Herzegovina, Jovan Motika pula terpaksa pulang ke kampung halaman untuk menyelesaikan isu keluarga. Selain Motika dan Brendan, KL City juga terpaksa melupakan khidmat Partiban.
Kuljanac mengakui ketiadaan tiga tonggak ini sedikit sebanyak merencatkan usahanya membentuk skuad ampuh menentang The Sailors.
“Brendan (Gan) mengalami kecederaan. Jovan (Motika) terpaksa pulang ke kampung halaman kerana ada isu keluarga, kita tidak boleh gunakan khidmatnya. Situasi Partiban tidak jelas,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
KL City boleh menghela nafas lega kerana Paulo Josue, Haqimi Azim Rosli, Declan Lambert dan Patrick Reichelt kembali menyertai pasukan.
Empat pemain tersebut baru selesai menjalani tugasan antarabangsa bersama Malaysia dan Filipina untuk saingan ASEAN Championship 2024.
Meskipun tempang tanpa beberapa tonggak, itu tidak menghalang KL City untuk memburu kemenangan ketiga dalam Kumpulan B Shopee Cup.
“Kita sentiasa berikan yang terbaik. Tentang keputusan, saya tak boleh kata tetapi kita akan beri 100% tidak kira siapa yang bermain,” tambahnya.
KL City bakal berentap dengan Lion City Sailors di Stadium Jalan Besar pada 9 Januari ini. Kemenangan bakal mencerahkan peluang The City Boys ke separuh akhir Shopee Cup.