Pengendali KL City FC, Miroslav Kuljanac bakal melakukan rombakan terakhir sebelum bertemu dengan Negeri Sembilan FC dalam aksi keempat Liga Super.
Selepas tiga perlawanan Liga Malaysia (Liga M) termasuk Piala FA 2024, KL City hanya merekodkan satu keputusan seri dan dua kekalahan.
Lebih pahit, The City Boys kempunan mengulangi pencapaian layak ke final Piala FA edisi 2023. Ini selepas pasukan Lembah Klang itu disingkirkan Kuching City FC dalam aksi pusingan 16 pasukan terbaik pada 14 Jun lalu.
Enggan membiarkan kemarau kemenangan yang membelenggu pasukannya berpanjangan, Kuljanac sedia membuat rombakan untuk perlawanan terbaru liga.
“Liga kali ini berstatus elit (dan) mengundang tekanan. Kita perlukan satu kemenangan. Kita bermain dengan baik (sebelum ini), ini bukan tentang persembahan tetapi mendapatkan keputusan.
“Itu menjadi satu masalah dan kita perlu memperbetulkan ia. Kita perlu dapatkan satu keputusan yang baik,” katanya dalam temubual pra-perlawanan dengan Astro Arena.
KL City membuka tirai aksi keempat liga dengan bakal turun menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Perlawanan ini bukan saja menyaksikan The City Boys beraksi di gelanggang lawan buat kali pertama untuk musim 2024/25.
Malah, ini juga kali pertama skuad Rusa beraksi di Paroi untuk musim ini selepas tiga kali beraksi di gelanggang lawan.