KL City Pecah Rekod Baharu
MakanBola
KL CITY

KL City terus mencipta sensasi dalam saingan Liga Super musim 2025/26 apabila berjaya memecahkan rekod baharu kelab.

Mengharungi musim dengan penuh konsistensi, The City Boys kini berada di tangga keempat liga selepas mengharungi 22 perlawanan.

Di bawah kendalian Risto Vidakovic, KL City mempamerkan aksi yang berkarisma dan berdisiplin tinggi setiap kali turun ke padang, walaupun sering berdepan pasukan yang berada pada kedudukan lebih baik dalam carta liga.

Terbaharu, KL City mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Kelantan TRW di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. Dua gol kemenangan tersebut dijaringkan oleh penyerang berbisa, Kpah Sherman dan Safawi Rasid.

Kekuatan seimbang di setiap posisi, ditambah dengan kehadiran pemain berpengaruh seperti Safawi, Sherman serta penjaga gol Quincy Kammeraad, jelas memberikan suntikan motivasi dan kestabilan kepada pasukan untuk terus mengekalkan momentum kemenangan.

Menurut kenyataan rasmi kelab di platform X, KL City kini mencatat pungutan mata tertinggi mereka sejak musim 2021.

“Perkembangan ini jelas dapat dilihat. Angka-angka membuktikannya. Kuala Lumpur City FC telah mengumpul 42 mata setakat ini dan masih berbaki tiga perlawanan untuk diharungi,” menurut kenyataan tersebut.

The City Boys dijadualkan meneruskan cabaran Liga Super 2025/26 dengan aksi getir menentang Johor Darul Ta’zim F.C. di Stadium Sultan Ibrahim pada 2 Mei ini.