KL City Tak Cukup Pemain Lawan Negeri Sembilan?
MakanBola
KL City FC

Kelab Lembah Klang, Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dilaporkan berdepan masalah tidak cukup pemain menjelang aksi pertama Liga Super menentang Negeri Sembilan FC.

Sebelum ini, beberapa media melaporkan aksi antara kedua-dua pasukan itu akan ditunda. Namun begitu, punca aksi Negeri Sembilan dan KL City dilaporkan akan ditunda tidak dinyatakan.

Kini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan pasukan yang dibimbing Datuk Dollah Salleh itu tidak memiliki bilangan pemain yang cukup untuk perlawanan itu.

Zulhelmi turut memaklumkan keputusan sama ada untuk menunda atau membatalkan perlawanan itu kini terletak di tangan Malaysian Football League (MFL).

“KL City yang sudah umumkan beberapa muka baru difahamkan tak cukup pemain untuk turun bertemu Negeri Sembilan di Paroi hari ini, perlawanan berdepan kemungkinan ditunda atau dibatalkan,” katanya di X.

Berita ini timbul tatkala KL City mengumumkan perpindahan lapan pemain baharu bagi menghadapi musim 2026/27. Antara pemain yang dibawa masuk ialah Ibrahim Manusi, Syafiq Ahmad, Gary Steven Robbat dan Reagy Ofosu.

Dua lagi tonggak import iaitu Yusuf Tunji Omotosho dan Joseph Adjei juga dilaporkan akan menyertai kelab itu tidak lama lagi.