Advertisement
KL City Tampil Penuh Kelainan Bagi Jersi Musim 2023
Liga Super
MakanBola
Astro Arena

Dengan saingan Liga Super bakal membuka tirai menerusi Perlawanan Sumbangsih, kelab-kelab mula memperkenalkan jersi home dan away mereka. Hari ini, KL City menarik perhatian penyokong dengan memperkenalkan jersi baru mereka untuk musim 2023.

Ia diperkenalkan dalam satu majlis ringkas di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Selain memperkenalkan jersi baru City Boys, ia juga merupakan majlis perasmian kedai cenderamata pasukan di stadium tersebut.

Jersi buatan HNDRD itu mengambil inspirasi daripada jersi-jersi retro pasukan pada era 90-an termasuk warna merah dan putih.

Warna merah digunakan untuk corak reka bentuk jersi di sebelah kiri dengan warna putih sebagai warna dominan. Sementara warna biru logo Rinani Group pada bahagian tengah jersi menjadikan ia kelihatan menonjol.

Bagi CEO KL City, Stanley Bernard, jersi baru City Boys ini dilihat mewakili aspirasi pasukan untuk musim ini. “Saya fikir kita telah menyentuh hati ramai penyokong pada musim-musim sebelumnya. Mungkin untuk tahun ini, kita nak warnai pula hati mereka daripada gunakan satu warna sepenuhnya.

“Walaupun rekaannya cantik dan serius, kita ambil sedikit risiko agar kelihatan ranggi untuk jersi kita,” katanya bila ditemubual Karl Nunis untuk Astro Arena.

Sejak muncul di laman media sosial, ramai memuji kecantikan jersi baru City Boys. Jersi ini bakal dilihat di atas padang buat kali pertama menerusi perlawanan Liga Super KL City menentang Penang esok.