Advertisements
KL City Terima Suntikan Jutaan Ringgit
Liga Super
MakanBola
KL City FC

KL City FC bakal menerima suntikan kewangan berjumlah RM1 juta pada akhir bulan ini.

Perkara ini disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar kepada media selepas majlis makan malam eksklusif bersama penaung, presiden dan ahli-ahli jawatankuasa eksekutif KLFA yang baru di Mercure Hotel Trion pada 17 Oktober lalu.

Beliau memaklumkan suntikan kewangan ini akan digunakan untuk menyelesaikan baki tunggakan gaji pemain KL City yang belum selesai.

“Pemain sudah tentu minta gaji tertunggak mereka diselesaikan. Yang itu sajalah, yang itu kita tahulah. Akhir bulan ini, kita akan selesaikan RM1 juta. Yang dapat, kita akan selesaikan satu bulan dulu pasukan KL City,” katanya.

Berdasarkan kenyataan media Syed Yazid sebelum ini, KLFA akan menerima RM1 juta daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ini mencerminkan keseriusan beliau sebagai presiden baru KLFA untuk memastikan isu kewangan yang membelenggu The City Boys terutama tunggakan gaji sebelum ini tidak berulang.

Berita ini bakal memberi kelegaan kepada barisan anak buah Miroslav Kuljanac menjelang aksi menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 18 Oktober.

Pasukan itu mahu meneruskan momentum kemenangan selepas menewaskan Penang FC 4-2 pada 29 September lalu.