Aksi penyudah yang meghiburkan dan menghampakan oleh penyerang baharu Man United kembali menjadi bualan warga maya.
Joshua Zirkzee yang dipinjamkan dari Bayern Munich ke Bologna dijangka bakal melengkapkan perpindahannya ke Man United tidak lama lagi menerusi laporan wartawan terkenal, Fabrizio Romano.
“Hari Joshua Zirkzee dimulakan dengan ujian perubatan sebagai pemain baharu Manchester United,” tulis Fabrizio Romano di laman X milik beliau.
“Pertemuan dengan Erik ten Hag menyusul kemudian, dia akan menandatangani kontrak sehingga Jun 2029 dengan pilihan untuk musim selanjutnya. Yuran €42.5 juta akan dibayar dalam tiga tahun kepada Bologna.”
Walau bagaimanapun, di sebalik keterujaan para peminat Man United menyambut ketibaan Zirkzee, satu klip video memaparkan aksi pemain berusia 23 tahun itu yang gagal menyudahkan peluang yang terbuka telah tular semula.
Klip video berdurasi enam saat itu dikongsikan oleh Footy Humor menunjukkan peluang yang dimiliki Zirkzee ketika bermain untuk Bayern Munich dalam aksi persahabatan menentang Ajax Amsterdam beberapa musim yang lalu.
Zirkzee ketika itu menerima bola hantaran lolos dari rakan sepasukan sebelum menggelecek melepasi penjaga gol namun beliau gagal menolak bola ke gawang yang kosong apabila pemain lawan pantas memintas bola itu.
Hal ini menyebabkan para peminat bola sepak tidak kering gusi melihat penyudah bakal pemain Man United itu dan melabelkan pembeliaan Zirkzee ini akan menjadi bahan kutukan penyokong kelab lawan.
Joshua Zirkzee merupakan produk akademi Feyenoord sebelum mengembangkan kariernya di Jerman bersama Bayern Munich namun kerana gagal merebut tempat, beliau dipinjamkan ke beberapa kelab di Itali dan Belgium.
Statistik Zirkzee pada musim lalu ketika menyarung jersi Bologna jelas tidak mengecewakan apabila merekodkan 12 jaringan dalam 37 perlawanan sepanjang musim bersama skuad kendalian Thiago Motta menurut Transfermarket.