Kelab Ireland, Bohemian FC dengan kerjasama kumpulan muzik terkenal Ireland, Fontaines DC memperkenalkan jersi ketiga terbaru mereka demi Palestin.
Kolaborasi ini menyaksikan bagi setiap jualan jersi berkenaan, hasil jualan akan disalurkan kepada Medical Aid for Palestinians. Dana tersebut boleh digunakan untuk membantu pasukan bantuan kecemasan dan hospital Palestin yang terkesan terutama di Semenanjung Gaza.
Jersi ini direka oleh gitaris Fontaines DC, Carlos O’Connell. Lirik lagu popular mereka, Horseness Is the Whatness iaitu ‘I thought it was love‘ dicetak pada bahagian leher jersi berkenaan.
Jersi Bohemian ini turut mengandungi tag sulaman memaparkan bendera Palestin dan perkataan Gaelik ‘Saoirse don Phalaistín‘ yang bermaksud Bebas Palestin.
O’Connell menyifatkan kolaborasi bersama Bohemian dilihat sumbangan kecil mereka dalam menentang penindasan rejim Israel ke atas rakyat Palestin.
“Hanya beberapa institusi saja di dunia ini yang berdiri teguh dan tidak mundur bila berdepan penindasan.
“Bohemian FC merupakan salah satu daripadanya dan menjadi sebahagian kecil daripada kelab ini merupakan satu penghormatan bagi kami di FDC untuk beberapa tahun sekarang. Kami akan sentiasa menyokong mereka dan nilai mereka,” katanya.
Penyokong Bohemian dan peminat bola sepak yang berminat boleh mendapatkan jersi menarik itu di sini.
Pengenalan jersi baru ini dilihat usaha berterusan Bohemian dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin. Sebelum ini, kelab itu menganjurkan aksi persahabatan antara pasukan wanita mereka pasukan bola sepak wanita Palestin pada Mei 2024.
Semangat ini turut dibawa Fontaines DC dalam arena hiburan Eropah. Kumpulan itu menggunakan Anugerah Rolling Stone UK 2024 sebagai platform mengetengahkan suara Palestin.
Selepas menerima anugerah Album Terbaik untuk album mereka, Romance, O’Connell bukan saja melaungkan slogan Bebas Palestin. Malah, beliau juga tidak teragak-agak mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.