Skuad bola sepak kebangsaan Singapura terpaksa melupakan hasrat untuk beraksi di Stadium Nasional Singapura selepas disahkan hanya beraksi di Stadium Jalan Besar dalam perlawanan pembukaan kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 menentang Myanmar.
Ini kerana Stadium Nasional yang berkapasiti 55,000 tempat duduk itu telah ditempah lebih awal untuk konsert penyanyi dari Taiwan, Jay Chou yang dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Disember.
Disebabkan itu, pengurusan stadium berpendapat bahawa mereka kesuntukan masa untuk menyediakan padang dan bilik persalinan dengan kondisi yang baik menjelang aksi pembukaan menentang Myanmar 24 Disember depan.
Selepas tidak dapat menggunakan Stadium Nasional bagi aksi pembukaan Piala AFF Mitsubishi Electric, Singapura terpaksa menggunakan venue alternatif iaitu Stadium Jalan Besar yang berkapasiti 6,000 tempat duduk.
Selain Singapura dan Myanmar, kumpulan B juga dihuni Malaysia, Vietnam dan Laos. Bagi kempen kali ini, semua pasukan akan menjadi tuan rumah di negara masing-masing dan dua pasukan teratas kumpulan akan layak ke peringkat separuh akhir.