Kem badminton England bakal mendapat sentuhan bekas pemain beregu nombor satu dunia, Koo Kien Kiat.
Ini selepas Badminton England (BE) mengumumkan pelantikan Kien Kiat sebagai jurulatih jemputan England di laman sesawang rasmi mereka.
Kien Kiat bakal bekerjasama dengan kem badminton England sepanjang bulan Mac ini. Ini termasuk persiapan mereka menghadapi All England Open 2025.
“Koo Kien Keat telah menyertai program prestasi elit kita sebagai jurulatih jemputan dan bakal bekerjasama rapat dengan semua atlet kita untuk tempoh empat minggu seterusnya untuk membantu menambah baik permainan individu mereka,” kata badan itu dalam satu kenyataan.
“Kita sukacitanya mengalu-alukan bekas pemenang All England dan kita tidak sabar melihat beliau berkolaborasi erat dengan Nathan Robertson dan semua atlet kita sepanjang bulan Mac.”
Kien Kiat menjadi jurulatih kedua yang dibawa BE bagi menambah baik program kejurulatihan mereka.
Sebelum itu, badan induk badminton England itu turut merekrut legenda badminton Denmark, Christinna Pedersen sebagai jurulatih prestasi mereka.
Antara beregu England yang berpeluang berguru dengan Kien Kiat ialah beregu ke-13 dunia, Ben Lane-Sean Vendy.
Jaguh negara itu merupakan pemenang terakhir All England Open dari Malaysia bersama Tan Boon Heong pada 2007.
Sejak itu, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik merupakan beregu negara yang paling hampir mengakhiri kemarau kejuaraan dalam acara beregu lelaki. Juara dunia 2022 itu muncul naib juara dalam edisi 2019 dan 2024.