Hasrat juara KL Masters Malaysia 2023, Leong Jun Hao untuk mara ke separuh akhir Korea Masters 2023 tidak kesampaian hari ini.
Ini selepas pemain yang menduduki ranking ke-38 dunia itu tewas kepada jaguh China, Lei Lanxi di pentas suku akhir.
Set pertama menyaksikan Jun Hao berdepan kesukaran menyaingi lawannya yang menduduki ranking ke-57 dunia.
Keadaan ini menyaksikan anak jati Kuala Lumpur itu terpaksa akur dengan kehebatan Lanxi menerusi keputusan 21-14.
Jun Hao cuba memberi tentangan sengit kepada jaguh China itu dalam set kedua. Bagaimanapun, Lanxi tetap unggul dengan meraih kemenangan 22-20.
Wakil China itu akan menanti pemenang antara seorang lagi wakil Malaysia, Soong Joo Ven dan jaguh Jepun, Kenta Momota dalam satu lagi aksi suku akhir.
Pemenang aksi tersebut bakal berdepan Lanxi di pentas separuh akhir esok.