Kualiti 3 Pemain JDT Buka Mata Kelab Gergasi Arab
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kualiti tiga pemain utama Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya membuka mata kelab gergasi Arab Saudi.

Skuad Harimau Selatan beraksi pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang juara bertahan, Al-Ahli di Stadium Alinma, Jeddah.

Perlawanan bagaimanapun berkesudahan dengan kemenangan milik pasukan kendalian Matthias Jaissle dengan keputusan 2-1 yang dibarisi pemain bintang handalan dunia.

Lencongan cantik Wenderson Geleno pada minit ke-54 sudah cukup untuk memastikan Al-Ahli mara ke pentas separuh akhir ACLE namun dikejutkan dengan aksi memukau daripada anak buah Xisco Munoz di atas padang.

Terdapat beberapa pemain daripada JDT yang berjaya mencatatkan statistik memukau setanding barisan bintang Al-Ahli – sekali gus mengangkat kualiti pasukan dari Malaysia pada pentas elit Asia.

Antara pemain yang paling cemerlang ialah pemain sayap, Oscar Arribas yang menerima 6.9 mata penilaian di laman Sofascore.

Pemain berusia 26 tahun itu melakukan lapan hantaran yang membuka peluang buat JDT, 36 sentuhan, empat gelecekan berjaya dan dua kali dikasari pihak lawan.

Oscar turut cemerlang membantu barisan pertahanan, memenangi empat perebutan bola dan tidak berjaya digelecek sekali pun oleh pemain serangan lawan.

Seorang lagi tonggak cemerlang pada perlawanan tersebut ialah gandingan kapten pasukan, Natxo Insa dan Nene pada bahagian tengah.

Kedua-dua pemain ini menerima penilaian masing-masing 6.5 dan 6.7 mata, dengan Natxo melakukan 21 hantaran ke kawasan berbahaya lawan (91% berjaya) manakala melakukan 24 kali hantaran ke kawasan lawan (96% berjaya).

JDT kini menduduki tangga ke-10 Asia dengan 78.9 mata sementara Al-Ahli di tangga ketiga dengan 82.4 mata.