Kualiti Trofi Malaysia Open Jadi Bualan Peminat
UltraSukan
Tengku Zafrul

Kualiti trofi Malaysia Open 2026 menjadi bualan peminat badminton Malaysia di media sosial sejak 11 Januari lalu.

Ini kerana pada hemat mereka, trofi yang disampaikan tidak segah jika dibandingkan dengan trofi-trofi yang disampaikan kepada pemenang dalam edisi-edisi sebelumnya.

Malah, jaguh beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dikesan mengetuk trofi beliau semasa upacara penyampaian hadiah.

Perkara ini disedari seorang pengguna X bernama Theone_xyz menerusi ciapannya pada Ahad lalu. “Aaron raja meme,” katanya.

Seorang lagi pengguna X bernama Nalsoul pula menyifatkan trofi tersebut mirip trofi Orleans Masters. “Piala Orleans Masters ke?” keluhnya.

Turut senada dengan dia ialah Zhiyiilyy. Pengguna X itu berpendapat trofi edisi 2026 tidak segah edisi sebelumnya menerusi komen ini, “Trofi alami penurunan taraf.”

Koresponden ShuttleHard, Craig Ansibin juga bersetuju dengan keluhan peminat badminton negara berhubung hal ini. “Kita perlukan trofi (lebih baik) tahun hadapan! Trofi-trofi sebelum ini pun lawa,” katanya di X.

Craig turut mencadangkan trofi Malaysia Open dibuat seperti trofi khas yang dibuat untuk kejohanan besar seperti World Tour Finals.

Beliau merasakan dengan status kejohanan itu sebagai kejohanan bertaraf BWF Super 1000, trofi seharusnya setaraf dengan status kejohanan.

“Buat satu piala pusingan macam All England. Kemudian, cenderahati itu boleh tukar setiap tahun bergantung kepada penaja kejohanan.

“Trofi Super 1000 kena cantik sedikit. Royal Selangor kan ada. Contoh, trofi BWF WTF (World Tour Finals) ini,” tambahnya.

Saingan Malaysia Open menyaksikan Aaron dan Soh Wooi Yik terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara acara beregu lelaki. Mereka tewas kepada jaguh Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae.