Kuching City Ke Thailand, 4 Kelab Hebat Jadi Ujian
MakanBola
Kuching City FC

Empat kelab Thailand bakal menguji keserasian Kuching City sebagai persiapan menghadapi musim 2026/27.

Sebelum ini, Kuching City dilaporkan akan ke Chiangmai, Thailand untuk beberapa aksi persahabatan dengan kelab di negara itu.

Kini, perkara itu disahkan pengurusan The Cats dalam satu kenyataan pada 27 Julai lalu. Meskipun tidak mendedahkan siapa lawan mereka, empat kelab Thai League 1 dan Thai League 3 bakal menguji anak buah Aidil Sharin Sahak.

“Kuching City FC kini berada di Chiang Mai, Thailand bagi menjalani kem latihan pramusim sebagai persiapan menghadapi musim 2026/27.

“Sepanjang kem ini, Kuching City akan mengharungi empat aksi latihan tertutup menentang empat kelab dari Thai League 1 dan Thai League 3 bagi menguji taktikal, membina keserasian serta meningkatkan tahap kecergasan pasukan.

“Setiap sesi latihan dan setiap minit di atas padang adalah langkah penting dalam persediaan menjelang Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim pada 21 Ogos ini, sebelum mengharungi cabaran Liga Super 2026/27,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Kuching City sudah tiba di Chiangmai pada Selasa dan fokus menjalani latihan. Selain empat pasukan Thailand, Kuching City juga akan berdepan pendatang baharu Liga Super, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) pada 10 Ogos ini.