Kuching City Mudah Atasi Kelantan RW
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Naib juara Liga Super musim lalu, Kuching City FC tidak berdepan masalah mengatasi Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dalam aksi persahabatan yang diadakan di Stadium Mindef, Kuala Lumpur.

Perlawanan ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan menambah baik keserasian pemain sebelum musim 2026/27 bermula. Malah, ini memberi peluang buat kedua-dua pasukan beramah mesra dengan penyokong yang berada di Lembah Klang.

Kuching City menurunkan ramai tonggak berkaliber seperti Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid, Ajdin Mujagic dan Dylan Wenzel-Halls. Faiz Nasir dan Latiff Suhaimi menjadi sandaran jurulatih Kelantan RW, Irfan Bakti Abu Salim.

Separuh masa pertama menyaksikan Kuching City meraih dua gol. Mujagic yang pernah mewakili Sabah FC pada musim lalu mencetak kedua-dua gol buat The Cats.

Separuh masa kedua menyaksikan Kelantan RW memperkemaskan rentak permainan. Kesungguhan mereka mempertahankan gawang memastikan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Meskipun tewas, ramai penyokong Kelantan RW berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan mereka. Seorang penyokong bernama Aris_Shafii percaya pasukan itu mampu memberi cabaran selepas melihat aksi itu di Stadium Mindef.

“Permainan (pasukan) boleh pergi jauh. Puas hati tengok tadi,” katanya di ruang komen Instagram. Seorang lagi penyokong bernama Itzzur.Kobii turut senada dengan komen ini, “(Persembahan) di luar jangkaan.”

Selepas ini, Kelantan RW akan menentang UM-Damansara United dalam aksi persahabatan seterusnya pada 12 Ogos ini. Kuching City pula terus mengatur persiapan menjelang aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 21 Ogos ini.