Kudrat Pemain Tempatan Jadi Taruhan Kelantan DN Hadapi JDT
MakanBola
Kelantan Darul Naim FC

Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) bakal mempertaruhkan kudrat anak tempatan bagi menghadapi cabaran juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini berdasarkan tinjauan yang dibuat wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam ketika pasukan Pantai Timur itu menjalani latihan pada 9 April lalu.

Tinjauan beliau mendapati Kelantan DN membawa 17 pemain di bawah bimbingan penolong jurulatih pasukan, Rezal Zambery Yahya.

“17 pemain, satu jurulatih. Kelantan Darul Naim pertaruh pemain tempatan bertemu JDT malam esok,” katanya di X.

Meskipun menurunkan anak tempatan, Rezal percaya barisan pemain yang dipilih akan mempamerkan prestasi terbaik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Ini kerana baki aksi liga dilihat medan buat para pemain menunjukkan kemampuan diri mereka terutama menjelang musim 2025/26.

“Antara perkara positif yang kita tekan sekarang ini ialah ini peluang mereka untuk memasarkan diri mereka dalam Liga Malaysia (Liga M) akan datang,” katanya.

“Dengan baki perlawanan menentang JDT dan pasukan-pasukan lain selepas ini, bagaimana mereka dapat mempamerkan aksi mereka.

“Sekurang-kurangnya sama ada mereka akan dikekalkan atau pasukan-pasukan lain mengintai untuk mendapatkan khidmat mereka. Itu yang penting demi kerjaya mereka.”

Kelantan DN bakal menghadapi cabaran JDT di SSI pada 10 April.