Kurang Cergas Punca Natxo Insa Disisihkan Berdepan Kepulauan Solomon

Natxo insa 1 Kurang Cergas Punca Natxo Insa Disisihkan Berdepan Kepulauan Solomon
Johor Southern Tigers
Nik Faris @nikfalovic
9:27pm 13/06/2023

Hasrat untuk melihat kelibat jeneral tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa untuk mengemudi bahagian tengah pasukan akhirnya berkecai sekelip mata.

Kim Pan-gon sudah pasti mahu membawa skuad terbaik apabila beraksi di laman sendiri namun berhadapan masalah di luar jangkaan.

Setelah kecederaan penyerang muda KL City FC, Haqimi Azim sebelum sesi latihan bermula, pengendali kelahiran Korea Selatan itu juga dilaporkan hilang dua lagi khidmat tonggak penting pasukan iaitu Shahrel Fikri dan Natxo Insa.

Pemain berusia 36 tahun itu baru sahaja pulih daripada kecederaan jangka panjang yang melibatkan lututnya terpaksa disisihkan daripada tugasan kali ini.

Menerusi laporan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, ketiadaan bekas bintang Celta Vigo ini sudah tentu memberi impak kepada percaturan Malaysia.

“Dua pemain tidak menyertai sesi latihan penuh iaitu Natxo Insa dan Shahrel Fikri sekaligus beri bayangan dua pemain ini tidak akan diturunkan berdepan Kepulauan Solomon,” jelasnya kepada Astro Arena.

Pan-gon bagaimanapun masih memiliki pemain lain seperti Syamer Kutty, Stuart Wilkin dan ramai lagi yang boleh menggalas tugas penting tersebut.