“Kurang Pengalaman Punca Syihan Lakukan Kesilapan” – Safee Sali

Instagram @supersafee 10 3 "Kurang Pengalaman Punca Syihan Lakukan Kesilapan" - Safee Sali
@supersafee_10
Azim Noor @mohdazim45
1:25pm 15/06/2023

Semalam, Malaysia mencipta kemenangan selesa 4-1 ke atas Kepulauan Solomon. Tetapi sebelum itu, Harimau Malaya dikejutkan dengan gol pelawat pada minit ke-10 – satu kesilapan mudah yang dilakukan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed atas faktor kekurangan pengalaman oleh Safee Sali.

Kepulauan Solomon meraih kelebihan awal apabila Syihan keluar dari gawang semasa cuba membantu Feroz Baharudin. Bagaimanapun, bola gagal disekat dan mudah ditolak Raphael Le’ai untuk gol tunggal pelawat.

Bagi Safee, tindakan penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) FC itu disifatkan kurang bijak lebih-lebih lagi dengan Feroz mengawal pemain Kepulauan Solomon. Tetapi pada masa sama, bekas penyerang KL City FC itu menganggap ia disebabkan kekurangan pengalaman yang dimiliki penjaga gol tersebut.

“Tak, saya rasa ini memang satu kesilapan daripada Syihan. Kita kena akui Syihan keluar jauh daripada kawasan gol. Dia melihat Feroz (Baharudin) ada di situ dengan pihak lawan.

“Kenapa dia harus keluar dari kotak penalti itu dan lepas. Bagi saya, pilihan dan tindakan yang tidak bijak daripada Syihan. Mungkin ini (kekurangan) pengalaman beliau bila beraksi di peringkat antarabangsa.

“Kena ambil iktibarlah kerana kesalahan macam ini boleh menghasilkan gol untuk pasukan sendiri,” katanya semasa menjadi panel perlawanan Malaysia-Kepulauan Solomon di Astro Arena semalam.