Kapten Perancis, Kylian Mbappe membidas seorang ahli politik Paraguay kerana mengeluarkan komen berunsur perkauman terhadap Les Bleus.
BBC Sport melaporkan senator Paraguay, Celeste Amarilla mengeluarkan siri ciapan berunsur perkauman terhadap Perancis. Ini selepas negara Amerika Selatan itu tersingkir di pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia di tangan Les Bleus.
Selepas siri ciapan Amarilla tular di media sosial, Mbappe bukan saja melabel komen ahli politik tersebut bersifat perkauman. Malah, ia dilihat memperlekeh usaha keras Paraguay yang beraksi cemerlang dalam kejohanan berprestij itu.
“Anda tidak mewakili Paraguay, negara yang telah mengeluarkan semangat dan penghormatan sepanjang pertandingan. Melalui sikap melulu dan perkauman anda yang kurang ajar, seluruh dunia telah melupakan perjalanan dan usaha bersejarah yang dicapai oleh pemain anda semasa Piala Dunia ini.
“Ini kerana untuk memberi laluan kepada wanita yang tidak cekap yang memberikan imej yang paling buruk kepada negaranya. Saya tidak akan membenarkan orang seperti dia kebebasan untuk menyebarkan kebencian dan perkauman mereka ke seluruh dunia,” katanya.
Susulan itu, Mbappe mendapat sokongan ramai figura awam Perancis termasuk presiden negara itu, Emmanuel Macron.
Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) sudah mengumumkan pelan untuk mengemukakan dakwaan jenayah terhadap Amarilla. Kerajaan Paraguay pula melabel kenyataan senator negara itu sebagai mengarut dan bertentangan dengan nilai dan prinsip mereka.
Amarilla bukan satu-satunya figura yang mengeluarkan kecaman bersifat perkauman terhadap Perancis. Legenda Paraguay, Jose Luis Chilavert juga dikecam kerana mengatakan Perancis dibarisi ramai pemain dari Afrika.
FFF melabel komen beliau bukan saja bersifat perkauman tetapi juga menjatuhkan maruah dirinya selaku legenda Paraguay.