Bintang Perancis, Kylian Mbappe mencipta tiga rekod tersendiri apabila membantu Real Madrid menewaskan Atalanta dalam aksi Piala Super UEFA awal pagi ini.
Mbappe diberi kepercayaan oleh pengendali Los Blancos, Carlo Ancelotti untuk mengetuai jentera serangan pasukan itu. Sementara Rodrygo dan Vinicius Junior pula beraksi di bahagian sayap.
Meskipun ini perlawanan pertama rasminya sebgaai pemain Real Madrid, penyerang berusia 25 tahun itu pantas menyesuaikan diri dengan pasukan di atas padang.
Los Blancos terpaksa menunggu sehingga minit ke-59 untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah Uruguay, Federico Valverde. Sembilan minit selepas itu, Mbappe membuka akaun golnya secara rasmi bersama Real Madrid.
Gol tersebut memastikan bekas bintang Paris Saint-Germain itu mencipta rekod tersendiri dalam sejarah pasukan. Ini kerana Mbappe bukan saja menjaringkan gol pertamanya dalam perlawanan pertama sebagai pemain Los Blancos.
Malah, bekas graduan akademi AS Monaco itu tidak menunggu lama meraih trofi pertama bersama Real Madrid dengan menjulang gelaran juara Piala Super UEFA.
Bila diminta mengulas tentang gol berkenaan, Mbappe mengakui gembira kerana dapat membuka babak baru kariernya dengan gol sulung buat pasukan itu.
“Saya sangat gembira dengan gol itu. Bagi penyerang seperti saya, untuk menjadi penentu dalam permainan pertama adalah penting tetapi saya juga gembira hanya untuk bermain, saya benar-benar tidak sabar untuk itu,” katanya kepada laman sesawang Real Madrid.
Bisa kapten Les Bleus itu dijangka ditagih untuk aksi pertama La Liga menentang Real Mallorca pada awal pagi 19 Ogos ini.