Legenda Portugal, Ricardo Quaresma bakal memeriahkan aksi persahabatan antara All Star Kedah dan All Star Malaysia.
Perkara ini diumumkan pengurusan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam satu kenyataan baru-baru ini. Aksi persahabatan antara All Star Kedah dan All Star Malaysia bakal diadakan pada 11 April ini.
Aksi anjuran Sang Kenari dan Malaysia Museum Football itu bakal menampilkan barisan pemain negara dan Kedah yang cukup dikenali satu ketika dahulu.
Antara nama yang bakal menjadi tumpuan ialah Azmil Azali, Indra Putra Mahayuddin, A. Jayakanthan dan Faiz Subri.
Selain aksi tersebut, Kedah juga bakal memperkenalkan duta keahlian eksklusif pasukan itu atau The Wings. Penyokong berpeluang beramah mesra dengan duta tersebut pada hari perlawanan itu nanti.
Mereka yang mendapatkan tiket premium pada harga RM200 (RM250 harga biasa) berpeluang bertegur sapa dengan duta tersebut.
Walau bagaimanapun, penyokong yang berminat perlu mendapatkannya dengan segera kerana tiket premium terhad kepada 350 orang sahaja.
Quaresma merupakan bekas pemain sayap Portugal yang cukup dikenali di peringkat antarabangsa. Beliau pernah beraksi untuk Inter Milan, Sporting Lisbon, Porto, Barcelona, Besiktas, Al-Ahli, Kasimpasa S.K dan Vitoria Guimaraes.
Quaresma turut merekodkan 80 penampilan di peringkat antarabangsa. Antara kenangan manis beliau bersama Portugal ialah meraih gelaran juara EURO 2016.