Pemain muda Sepanyol, Lamine Yamal semakin hampir mengejar rekod yang dilakukan oleh bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo.
Yamal bersama Sepanyol masih segar dengan kejayaan merangkul kejuaraan Euro keempat dalam sejarah pada awal pagi Isnin setelah menewaskan England dalam aksi final yang berlangsung di Berlin.
Pada perlawanan akhir itu, Yamal melakukan satu bantuan jaringan buat Nico Williams untuk meletakkan Sepanyol di depan sebelum Mikel Oyarzabal meledak gol kemenangan manakala Cole Palmer muncul penjaring tunggal buat England.
Dengan sumbangannya di dalam aksi final itu menyaksikan Yamal kini telah mengumpul sebanyak 4 bantuan jaringan sepanjang kejohanan Euro pertama buat pemain berusia 17 tahun ini.
Rekod bantuan gol terbanyak dalam sejarah kejohanan masih dipegang oleh kapten Portugal, Cristiano Ronaldo dengan 7 bantuan jaringan yang dilakukan beliau dalam enam penampilan di Euro sejak 2004.
Ini bermakna Yamal hanya memerlukan 3 lagi bantuan gol untuk menyamai rekod yang dipegang oleh Ronaldo dan dijangka tak berdepan masalah untuk memecahkan rekod itu berdasarkan usianya yang masih muda.
Aksi lincah pemain sayap Barcelona ini sepanjang kempen Euro telah menaikkan nilai pasaran beliau ditambah pula Yamal turut dinobatkan sebagai Pemain Muda Terbaik Kejohanan.
Untuk rekod, ini merupakan kejuaraan Euro keempat buat Sepanyol dalam sejarah setelah turut memenangi pada tahun 1964, 2008, 2012 dan terbaharu pada edisi 2024 di Jerman.