Menjelang aksi separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC antara Sabah FC dan lawan mereka, Macarthur pada 13 Februari ini, wakil A-League itu dilaporkan telah memperkuatkan barisan pemain mereka.
Salah satu nama yang dibawa masuk The Bulls ialah bekas bek tengah Ipswich Town dan New Zealand, Tommy Smith.
Smith menyertai kelab itu secara percuma selepas meninggalkan kelab Liga Dua (divisyen empat England), MK Dons.
Bek tengah veteran berusia 33 tahun itu merekodkan 371 penampilan dalam Liga Bola Sepak Inggeris (EFL). Ini termasuk 247 penampilan dalam Liga Kejohanan (divisyen dua England).
Smith dibawa masuk jurulatih Macarthur, Mile Sterjovski bagi menggantikan tonggak utama mereka, Jonathan Aspropotamitis.
Bek tengah berusia 27 tahun itu berhijrah ke Korea Selatan bagi menyertai kelab K-League 1, Pohang Steelers.
Selain Smith, The Bulls turut membawa masuk Bernardo Olivieira dan Walter Scott masing-masing dari Adelaide United dan Wolves FC pada tetingkap perpindahan Januari lalu.
Olivieira, 19, dibawa masuk bagi menambah pilihan di bahagian sayap. Sementara Scott, 24, pula dibawa masuk sebagai sokongan kepada bek kiri, Ivan Vujica.
Ini selepas bek kiri sokongan kepada Vujica, Isaac Hovar terpaksa berehat lama akibat kecederaan.
Smith sudah membuktikan keupayaannya dengan membantu The Bulls meraih kemenangan ke atas Melbourne Victory dalam aksi terbaru A-League hari ini.
Masuk sebagai pemain gantian, beliau mendapat 6.5 mata menerusi penilaian yang dibuat oleh Sofascore.
Kehadiran Smith dijangka memberi cabaran kepada barisan penyerang Sabah diketuai Darren Lok untuk merobek barisan pertahanan Macarthur pada Selasa ini.