Advertisement
Layak Ke Piala Asia B-17, FAM Terus Tagih Khidmat Osmera Omaro
Dunia
MakanBola
FA Malaysia

Selepas berjaya lolos ke Piala Asia Bawah 17 (B-17), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan terus memberikan kepercayaan kepada pengendali skuad muda negara itu, Osmera Omaro untuk kekal membimbing pasukan Malaysia B-17 sehingga ke kejohanan utama itu tahun hadapan.

Perkara itu disahkan oleh Pengurus Pasukan Malaysia B-17, Christopher Raj. Christopher memberitahu bahawa Osmera dan pasukan kejurulatihan beliau akan menerima surat pelantikan untuk terus melatih pasukan B-17 negara selepas mesyuarat exco FAM pada Jumaat ini.

Pada kempen kelayakan tempoh hari, Osmera menunjukkan bahawa beliau sememangnya seorang jurulatih yang terbaik buat pasukan B-17 negara selepas pasukan kendaliannya mengungguli kumpulan B dengan mengumpul 10 mata.

“Kerja yang telah kami lakukan untuk mencapai ke tahap ini sememangnya banyak. Kami mahu sinergi ini berterusan dan kami akan pastikan ianya berterusan dalam Piala Asia kelak,” jelas Christopher kepada Thestar.

Pelantikan Osmera sebelum ini hanyalah sehingga 30 Oktober depan tetapi Osmera dan pasukan kejurulatihan boleh memikirkan untuk meneruskan perjuangan melatih skuad B-17 negara.

Ianya akan menjadi penampilan keenam Malaysia dalam Piala Asia Bawah 17 tahun selepas lolos ke kejohanan tersebut pada 2004, 2008, 2014, 2016 dan 2018. Prestasi terbaik Malaysia dalam kejohanan itu adalah pada tahun 2014 apabila mereka layak ke suku akhir.

Empat pasukan terbaik (layak ke separuh akhir) akan secara automatik ke Piala Dunia. Ini bermakna skuad negara hanya perlu mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir untuk layak ke Piala Dunia B-17 di Peru yang dijangkakan akan berlangsung juga pada tahun hadapan.