Kejohanan Pesta Bola Merdeka bakal membuka tirainya malam ini. Pertembungan antara pasukan Malaysia dan juga India di Stadium Nasional Bukit Jalil dijangka akan dibanjiri lebih 40,000 ekor Harimau Malaya.
Aksi pertama ini menjadi penentu kepada pasukan yang menang untuk layak ke pentas akhir Pesta Bola Merdeka bertemu Tajkistan pada Selasa, 17 Oktober kelak.
Sokongan padu rata-rata peminat bola sepak tempatan semestinya akan menambah aura dan suasana di stadium keramat Harimau Malaya ini. Kehadiran penonton yang ramai sudah tentu bakal menggerunkan pasukan pihak lawan.
Menerusi ciapan terkini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di laman X, jumlah tiket yang sudah terjual setakat ini telah mencecah 35 ribu keping. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat menjelang sepak mula yang dijadual tepat jam 9 malam hari ini.
Untuk makluman, aksi menentang India ini menjadi perlawanan pertama buat anak buah Kim Pan-gon beraksi diatas padang yang baru, rumput jenis Zeon Zoysia yang baru sahaja selesai ditanam di SNBJ.
Ini kerana, kali terakhir Harimau Malaya beraksi dihadapan puluhan ribu penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah ketika kempen kelayakan Piala Asia 2024 tahun lalu.