Aksi persahabatan pertama antara Lion City Sailors dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dijangka menarik perhatian peminat bola sepak Malaysia dan Singapura.
Ini kerana aksi persahabatan malam ini di Stadium Bishan menemukan dua kelab gergasi di rantau Asia Tenggara itu buat kali pertama.
Meskipun Stadium Bishan hanya memiliki kapasiti 6,254 tempat duduk, tiket perlawanan mendapat sambutan hangat dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan dan sudah habis dijual.
“Kami gembira untuk memaklumkan bahawa semua tiket untuk perlawanan antarabangsa tempat sendiri kita menentang JDT di Stadium Bishan esok (hari ini) sudah habis dijual.
“Terima kasih atas sokongan menakjubkan ini, para penyokong sekalian!” kata pengurusan The Sailors dalam satu kenyataan.
Perlawanan malam ini bukan saja peluang buat Aleksandar Rankovic (Lion City Sailors) dan Hector Bidoglio (JDT) meningkatkan persiapan pra-musim kedua-dua pasukan.
Malah, ini dilihat medan terbaik bagi kedua-dua pasukan memperkenalkan barisan pemain baru untuk musim 2024-2025.
Harimau Selatan dijangka mengetengahkan Jalil Elias, Murilo Henrique, Chico Geraldes, Nicolao Dumitru Cardoso dan penyerang kebangsaan, Romel Morales.
Sementara The Sailors pula bakal memperkenalkan pemain kedua termahal mereka dari Belanda, Bart Ramselaar, Toni Datkovic, Sergio Carmona dan Obran Kljajic.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman The Sailors, Song Ui-yong juga kembali membarisi pasukan itu selepas berkelana ke Indonesia dan Thailand sepanjang tahun 2023.
Perlawanan malam ini juga dianggap istimewa buat kapten The Sailors, Hariss Harun. Ini kerana Hariss pernah mewakili JDT dari 2014 hingga 2021 sebelum memilih menyertai kelab Singapore Premier League (SPL) itu.
Aksi persahabatan pertama antara Lion City Sailors dan JDT bakal berlangsung pada jam 8.30 malam ini.
Ini disusuli aksi persahabatan kedua membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 April ini.