Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Wira Lee Chong Wei mahu para pemain untuk meletakkan fokus utama mereka kepada kerjaya terlebih dahulu berbanding hal lain.
Menurut beliau, terdapat jelas perbezaan ketika zaman dahulu dan kini yang rata-rata pemain terlalu takut untuk mengharungi kesusahan selain terlalu fokus menjaga imej di media sosial sahaja.
”Bagi saya, zaman sekarang memang berbeza dengan zaman saya dan saya boleh kongsikan memang pemain sekarang takut susah, manja dan dia akan lebih fokus untuk sosial media dia dan bukan untuk kariernya,” katanya ketika ditemu bual di konti Hot FM.
Dalam masa yang sama, beliau turut berkongsi nasihat buat para pemain agar para pemain untuk mendahulukan kerjaya dahulu memandangkan karier sebagai atlet ini tidak akan bertahan lama.
”Saya tak cakap betul atau salah sebab karier (saya) pada zaman yang berbeza tapi untuk saya, (jangka hayat) kita (sebagai) atlet masa sangat pendek. Masa keemasan kita itu memang sangat pendek. Saya rasa adalah lebih penting untuk jaga karier dahulu berbanding media sosial.”
Beliau yang pernah bergelar pemain nombor satu dunia selama enam tahun berturut-turut ini sempat bercerita mengenai disiplin yang diterapkan oleh bekas jurulatih beliau, Datuk Misbun Sidek yang baginya sungguh luar biasa.
“Ya, saya bangun pukul lima pagi kerana saya ikut jurulatih saya iaitu Datuk Misbun. Disiplin dia (Datuk Misbun) sangat luar biasa. Dia macam bapa saya, saya memang hormat dia sebagai jurulatih saya. Saya akan dengar apa yang diarahkan (ketika) latihan dan sebagainya.”
Datuk Wira Lee Chong Wei merupakan ikon badminton bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia apabila beliau telah terpilih sebagai salah seorang ahli Hall Of Fame oleh pihak Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada tahun 2023.
Kejayaan meraih tiga pingat perak di Sukan Olimpik pada tiga edisi berturut-turut iaitu ketika di Beijing 2008, London 2012 dan Rio De Janeiro 2016 pastinya menjadi kenangan manis buat para peminat badminton Malaysia.
Tonton video temu bual Datuk Lee Chong Wei bersama Hot FM: Di Sini.