Bekas pemain kebangsaan, Lee Tuck kembali ke Malaysia dan memilih menyertai Kelantan City FC.
Sebelum ini, kelab Pantai Timur itu sudah memberi bayangan bahawa Tuck akan menyertai pasukan berkenaan. Bayangan tersebut berbunyi, “Bawa saya kembali ke Malaysia.”
Kini, perpindahan pemain berusia 38 tahun itu disahkan Presiden Kelantan City, Tan Sri Annuar Musa menerusi satu kenyataan di Facebook. Beliau turut mengesahkan selain Tuck, Sean Selvaraj juga menyertai pasukan sama.
“33 pemain termasuk Andrew Lee Tuck telah didaftarkan bermain untuk Kelantan City. Hari ini adalah hari terakhir pendaftaran pemain liga AFL
“Sean Selvaraj turut menandatangani penyertaan bersama Kelantan City tetapi pendaftarannya bermula Januari untuk memberi ruang pemulihan dan kecergasan setelah beliau menjalani pembedahan ACL awal tahun ini. Turut didaftarkan ialah trio import dan 7 pemain Bawah 22 Tahun (B-22),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Selepas meninggalkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 2023, Tuck kembali ke England dan aktif dalam pertandingan Hyrox. Malah, beliau pernah meraih menggondol beberapa anugerah ketika membawa nama Malaysia.
Selain Kedah DA, Tuck juga pernah mewakili Negeri Sembilan, Terengganu FC dan Sri Pahang FC. Beliau juga pernah menyarung jersi Harimau Malaya dengan merekodkan sembilan penampilan dan tiga gol.