Kedudukan Lee Zii Jia kini mula memberi tekanan hebat buat jaguh dari Denmark, Viktor Axelsen.
Menerusi kemas kini ranking oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Selasa menyaksikan Zii Jia mencatatkan kenaikan 2 anak tangga ke kedudukan keempat dunia.
Kejayaan di kejohanan terdahulu termasuklah merangkul pingat gangsa di Olimpik Paris membantu jaguh berusia 26 tahun ini memintas 2 lagi pemain iaitu, Kunlavut Vitidsarn dan Anders Antonsen.
Zii Jia kini mengumpul sejumlah 83716 mata untuk berada di tangga keempat dunia secara keseluruhan dan tidak jauh ketinggalan di belakang Jonatan Christie di tempat ketiga.
Pemain Indonesia, Jonatan Christie kini menghuni ranking ketiga dunia dengan 83797 mata, kelebihan 81 mata di hadapan Zii Jia manakala Viktor Axelsen di tempat kedua dengan 96590 mata.
Jurang mata antara Axelsen dan Zii Jia kini adalah 12874 mata dan kedudukan wakil negara ini dilihat sudah mula menghampiri pemenang pingat emas Olimpik Paris itu.
Sementara itu, jaguh China, Shi Yu Qi masih mengekalkan posisi sebagai pemain nombor 1 dunia dengan pungutan 102415 mata meskipun tewas di pusingan suku akhir Olimpik Paris lalu.
Kini, kedua-dua pemain sedang berehat seketika bagi memberi perhatian kepada proses pemulihan setelah berjuang hebat di temasya Olimpik dan dijangka kembali bulan hadapan.