Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia semakin bersemangat menjelang kempen Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Ini kerana bekas juara All England 2021 itu kini bergelar pemain perseorangan lelaki kesembilan dunia.
Ini berdasarkan semakan terbaru kedudukan ranking pemain perseorangan lelaki dunia yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) yang dikongsikan ShuttleHard pada Isnin lepas.
Kedudukan terkini ranking BWF menyaksikan Zii Jia berada di tangga kesembilan sekaligus memintas jaguh perseorangan lelaki dari India, H.S. Prannoy.
Perubahan ini berlaku selepas Zii Jia berjaya menggondol gelaran juara Thailand Open 2024 dan muncul naib juara Malaysia Masters 2024.
Sementara itu, kedudukan lima pemain perseorangan lelaki terbaik dunia tidak menunjukkan perubahan. Viktor Axelsen kekal bertakhta sebagai pemain nombor satu dunia.
Lebih manis, jaguh Denmark itu turut menamatkan penantian gelaran juara tahun 2024 apabila bergelar juara Malaysia Masters 2024.
Shi Yuqi (China), Jonathan Christie (Indonesia), Anders Antonsen (Denmark) dan Kodai Naraoka (Jepun) melengkapkan senarai lima pemain terbaik dunia untuk kategori perseorangan lelaki.
Selepas Thailand Open 2024 dan Malaysia Masters 2024, Zii Jia kini bersiap sedia untuk mengharungi kempen Singapore Open 2024. Bekas juara Arctic Open 2023 itu bakal berdepan Anthony Sinisuka Ginting untuk aksi pusingan pertama kejohanan hari ini.