Permainan jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia disifatkan sebagai lebih baik menjelang kejohanan All England 2024.
Pandangan ini dilontarkan bekas jurulatih negara, Sairul Amar Ayob yang melihat peluang Lee Zii Jia untuk menumbangkan Kodai Naraoka di pusingan awal kejohanan itu tetap ada.
Beliau berkata kepada Astro Arena bahawa, persembahan di atas gelanggang lebih penting baginya berbanding rekod perlawanan terdahulu dan berharap Lee Zii Ji dapat bangkit dari kekalahan di Terbuka Perancis minggu lalu.
”Pada saya, pertemuan (Lee) Zii Jia dan Kodai (Naraoka) ini saya lebih memilih persembahan di hari perlawanan. Saya tidak memandang rekod kerana saya rasa persembahan (siapa) yang terbaik di hari itu, mereka akan menang, katanya.
Beliau juga melihat permainan pemain berusia 26 tahun itu kini lebih matang dan berani berbanding sebelum ini dan peluang itu seharusnya digunakan ketika menentang Kodai Naraoka kelak.
“Saya nampak (Lee) Zii Jia sekarang lebih matang permainan, lebih sabar, lebih berani dan saya berharap beliau akan menggunakan corak permainan itu ketika bertemu Kodai (Naraoka) esok (Rabu).”
Lee Zii Jia akan memulakan saingan All England dengan bertemu jaguh Jepun, Kodai Naraoka di pusingan pertama pada Rabu.
Minggu lalu, jaguh kelahiran Kedah ini mengakui kehilangan keyakinan diri menjadi faktor kekalahan kepada pemain perseorangan Denmark, Magnus Johanessen di pusingan pertama Terbuka Perancis.