Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia semakin menghampiri kelompok 50 pemain terbaik dunia.
Kemas kini ranking terbaru Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) menunjukkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu kini berada di tangga ke-63 dunia.
Zii Jia kini berada di belakang jaguh Indonesia, Anthony Sinisuka Giniting yang menduduki ranking ke-62 dunia.
Beliau merekodkan peningkatan sebanyak 16 anak tangga dari kedudukan sebelumnya di tangga ke-79. Hal ini berlaku susulan prestasi baik yang dipamerkan Zii Jia di pentas Thailand Masters.
Bekas juara All England itu mara ke peringkat suku akhir kejohanan itu. Walau bagaimanapun, Zii Jia terpaksa menarik diri sebelum set ketiga perlawanan menentang Alwi Farhan akibat kecederaan.
Ramai peminat badminton berharap kecederaan yang dialami beliau tidak serius dan kembali pulih tanpa sebarang isu.
Sekiranya Zii Jia tidak berdepan sebarang isu kecergasan, fokus beliau dijangka beralih kepada saingan German Open. Kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 300 itu akan berlangsung pada penghujung Februari ini.