Baru-baru ini Lee Zii Jia dan pemain perseorangan wanita India, Pusarla V. Sindhu dilihat berlatih bersama bagi mempersiapkan diri menghadapi kejohanan All England.
Perkara ini mendapat perhatian ramai terutamanya para peminat Lee Zii Jia yang ternanti-nanti perkembangan pemain berusia 26 tahun itu.
Menerusi satu video yang dimuatnaik oleh Yonex All England, Lee Zii Jia mempunyai sebabnya yang tersendiri mengapa beliau memilih untuk berlatih bersama pemain perseorangan wanita India tersebut.
Jelasnya, ketiadaan Ng Tze Yong yang cedera sebagai rakan sepelatih membuatkan beliau terfikir untuk mencari pengganti bagi memastikan dirinya bersedia sebelum turun beraksi.
”Disebabkan hanya saya seorang dari Malaysia dan seperti kalian tahu, Ng Tze Yong tiada di sini (akibat kecederaan). Jadi saya perlu mencari seseorang untuk berlatih bersama dengan saya,” katanya selepas perlawanan semalam.
Ditambah pula hubungan baik jurulatih beliau dan Sindhu berjaya menjadikan sesi latihan ini terlaksana buat kedua-dua pemain.
”Jurulatih saya (Wong Tat Meng) dan jurulatih Sindhu mempunyai hubungan yang baik, jadi kami berhubung untuk berbincang mengenai latihan bersama dan kedua-keduanya setuju.”
Bagi pemain kelahiran Kedah ini, peluang berlatih bersama PV Sindhu yang juga merupakan juara dunia 2019 adalah pengalaman terbaik buat dirinya.
”Ini satu pengalaman yang baik untuk berlatih bersama bekas juara dunia, tegas beliau.
”Saya agak terkejut, dia (PV Sindhu) mempunyai pukulan yang sangat kuat di atas gelanggang. Itu sebablah dia pernah bergelar juara dunia.”
Terdahulu, Lee Zii Jia berjaya mara ke pusingan kedua kejohanan All England setelah menumbangkan jaguh Jepun, Kodai Naraoka 21-12, 21-19 pada Rabu.
Sindhu turut layak ke pusingan seterusnya selepas lawannya dari Jerman, Yvonne Li menarik diri pada set kedua.
Di pusingan kedua nanti, Lee Zii Jia bakal berdepan cabaran bekas juara dunia, Loh Kean Yew dari Singapura manakala PV Sindhu akan menentang pilihan pertama kejohanan, An Se Young dari Korea Selatan.