Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memiliki impian besar iaitu memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Cita-cita ini dikongsikan beliau dengan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam untuk Nadi Arena semalam.
Zii Jia menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang menggalas cabaran untuk kategori perseorangan lelaki.
Bekas juara All England 2021 itu melihat temasya sukan berprestij itu sebagai satu peluang untuk melakar pencapaian terbaik atas nama negara.
Meskipun beliau mengakui perlu berhadapan cabaran sukar untuk merealisasikan cita-cita berkenaan, Zii Jia percaya cita-cita itu mampu dilakukan.
“Jujur cakap, saya bukan sombong ke apa. Sasaran saya bukan layak ke Olimpik tapi sasaran saya ialah menang (acara perseorangan lelaki) Olimpik.
“Dan saya tahu saya ada potensi untuk menang. Tapi saya juga masih bergelut dari segi prestasi. Sebab saya tak raikan kejayaan layak ke Olimpik kerana saya sasar untuk menang di Olimpik, bukan untuk layak.
“Dalam proses ini, saya dapati layak ke Olimpik bukan satu proses yang senang. Sedikit saja boleh layak dan kalau cedera, (peluang kelayakan) habis terus.
“Secara jujurnya, saya cakap dengan diri sendiri jangan letak tekanan negatif pada diri sendiri. Sebab saya sudah masuk Olimpik dua kali. Lepas Datuk Lee Chong Wei, saya sekarang yang main di Olimpik dua kali.
“Saya beritahu diri saya ini satu pencapaian besar meskipun belum menang sebarang pingat. Ini antara perkara positif yang kita beritahu pada diri sendiri.
“Kita pun tak tahu sama ada Olimpik seterusnya saya boleh main atau tidak. Ini juga temasya terbesar untuk semua atlet.
“Jadi, harapnya saya dapat bebas daripada kecederaan dan dalam keadaan yang baik untuk bersaing di Olimpik nanti,” katanya.
Zii Jia baru-baru ini membantu kontinjen badminton Malaysia mara ke separuh akhir Thomas Cup 2024 sebelum tewas kepada juara kejohanan, China.