Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia menerima geran kewangan berjumlah RM300,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Geran kewangan ini merupakan inisiatif sokongan KBS untuk membantu atlet-atlet profesional yang layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Menerusi geran ini, atlet yang terpilih dapat memanfaatkannya untuk kejohanan antarabangsa, kem latihan dan perkhidmatan sokongan. Ini memastikan mereka berada pada tahap terbaik apabila Sukan Olimpik membuka tirainya pada 26 Julai ini.
Selain Zii Jia, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei dan dua pemain golf Malaysia, Gavin Green dan Ashley Lau turut menerima geran sama.
Kesemua empat atlet ini menerima geran berkenaan yang disalurkan KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melihat inisiatif ini sebagai usaha berterusan kementerian menyokong atlet negara bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kami berdedikasi untuk menyediakan atlet kami bukan sahaja dengan perkhidmatan penting dari Institut Sukan Negara (ISN), tetapi juga dengan bantuan kewangan dari kerajaan. Kami mahu atlet kami memulakan perjalanan mereka dengan sokongan penuh kerajaan dan negara,” katanya.
25 atlet dari 10 disiplin sukan memperkuat kontinjen Malaysia untuk kempen Sukan Olimpik 2024. Malaysia berharap dapat menamatkan penantian 68 tahun untuk mendapatkan pingat emas dalam temasya sukan terbesar itu.