Lee Zii Jia Sah Perkuat Malaysia Ke Thomas Cup
UltraSukan
BA Thailand

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia memperkuatkan kempen Malaysia untuk saingan Thomas Cup 2026.

Perkara ini disahkan pasukan pengurusan beliau, Team LZJ menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi mereka.

“Dengan penuh sukacita, kami mengumumkan bahawa Lee Zii Jia telah mencapai persetujuan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia Thomas Cup 2026.

“Zii Jia juga telah bersetuju untuk mengetepikan yuran hak imej beliau demi mewakili negara pada Thomas Cup yang akan datang, mencerminkan komitmen dan dedikasi beliau kepada Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, desas-desus tentang Zii Jia mewakili Malaysia dalam saingan Thomas Cup mula hangat. Ini selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei baru-baru ini.

Apabila ditanya tentang tujuan pertemuan itu, Zii Jia hanya menyatakan tiada komen. Pada masa sama, beliau turut mengesahkan diskusi itu berkisar tentang Thomas Cup.

Untuk rekod, Malaysia antara 16 negara yang mengesahkan tempat di Thomas Cup di Denmark. Kejohanan dwitahunan itu bakal berlangsung bermula 24 April sehingga 3 Mei.

Selain Lee Zii Jia, pasangan beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei juga sah memperkuat Malaysia untuk kejohanan sama.