Lee Zii Jia: Tiada Komen
UltraSukan
MSN Malaysia

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengambil langkah untuk tidak memberikan sebarang komen selain meminta peminat badminton Malaysia agar terus bersabar.

Nama Lee Zii Jia kini hangat diperkatakan sebagai antara pemain yang bakal membawa cabaran Malaysia di pentas Thomas Cup yang akan berlangsung pada bulan April ini.

Walau bagaimanapun, Lee Zii Jia enggan mengulas lebih lanjut kepada pihak media selepas ditemui menghadiri mesyuarat tertutup di Akademi Badminton Malaysia (ABM) pada Jumaat.

Di sebalik pendekatan ‘kunci mulut’ itu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 tersebut cuma mengesahkan mesyuarat yang turut dihadiri oleh jurulatih, Liew Daren itu berkaitan Thomas Cup.

”Tiada komen, memang bincang tentang Thomas Cup dan akan diumumkan nanti,” kata Lee Zii Jia menurut ringkasan video yang dimuat naik oleh wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.

Untuk rekod, Malaysia antara 16 negara yang mengesahkan tempat di Thomas Cup 2026 di Denmark dengan kejohanan dwitahunan itu bakal berlangsung bermula 24 April sehingga 3 Mei.

Selain Lee Zii Jia, pasangan beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin-Goh Sze Fei turut dikatakan bakal memperkuat Malaysia bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.