Lee Zii Jia Tak Sertai Program Road To Gold
UltraSukan
BA Malaysia

Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia sah tidak menyertai program Road to Gold (RTG).

Perkara ini disahkan menerusi satu kenyataan yang dibuat pengurusan beliau yang disiarkan di semua platform media sosial.

Keputusan itu dibuat bukan saja dengan mengambil kira proses pemulihan yang sedang dilalui Zii Jia ketika ini.

Malah, pengurusan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu melihat sumber RTG patut disalurkan kepada rakan-rakan atlet yang menyerlah di peringkat antarabangsa.

“RTG ialah sebuah program yang dikhususkan bagi atlet yang terbaik di negara ini. Memandangkan Zii Jia sedang menjalani pemulihan kecederaan, kami rasakan bantuan bersesuaian daripada program itu patut diberi kepada rakan-rakan atlet yang lebih berhak menerimanya ketika ini.

“Meskipun Zii Jia tidak akan menjadi sebahagian daripada program RTG, kami amat menghargai peluang yang diberi kepada beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengurusan Zii Jia turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jawatankuasa RTG terutama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam.

Sebelum ini, nama beliau tersenarai dalam senarai 16 atlet yang akan menyertai program RTG. Antara yang tersenarai ialah Shah Firdaus Sahrom, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Nurul Izzah Izzati.