Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia terlepas peluang meraih hadiah lumayan berjumlah RM458,000.
Sebelum ini, Zii Jia memilih menarik diri daripada menyertai saingan Malaysia Open 2025. Keputusan itu diambil selepas beliau masih belum pulih daripada kecederaan ligamen buku lali.
Keputusan itu menyebabkan Leong Jun Hao menjadi satu-satunya pemain perseorangan negara yang beraksi dalam kejohanan itu baru-baru ini.
Susulan itu, Zii Jia terlepas peluang bergelar juara Malaysia Open 2025. Ini kerana juara acara perseorangan bakal menerima hadiah AS$101,500 (RM458,000) dan 12,000 mata ranking BWF.
Juara kejohanan edisi 2025 diraih jaguh China, Shi Yuqi. Pemain nombor satu dunia itu muncul juara dengan menewaskan jaguh Denmark, Anders Antonsen di pentas final dengan keputusan 21-8, 21-15.
Selain Malaysia Open 2025, Zii Jia juga memilih untuk tidak menyertai saingan India Open 2025 dan Indonesia Masters 2025.
Keputusan itu diambil bagi memastikan beliau benar-benar pulih sebelum kembali beraksi di atas gelanggang.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu dijangka kembali dalam saingan All England Open 2025 yang berlangsung pada Mac ini.