Jaguh perseorangan lelaki Denmark, Anders Antonsen melabel Lee Zii Jia dan Viktor Axelsen setaraf dari segi pukulan smash.
Perkara ini dinyatakan sendiri Antonsen dalam satu temu bual bersama stesen televisyen China, CGTN baru-baru ini.
Pemain nombor dua dunia itu pantas menyebut nama Zii Jia dan Axelsen bila ditanya siapa pemain yang memiliki pukulan smash yang mantap. “Sama ada Lee Zii Jia atau Viktor Axelsen,” katanya.
Zii Jia sememangnya dikenali kerana memiliki pukulan smash yang pantas. Ini terbukti berdasarkan statistik kelajuan smash saingan Kumamoto Masters 2024 yang dimuat naik Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) pada November lalu.
Meskipun beliau hanya mara hingga ke suku akhir, Zii Jia merekodkan pukulan smash dengan kelajuan 487.8 kilometer sejam (km/j). Pukulan tersebut jauh mengatasi wakil Chinese Taipei, Chi Yu Jen yang merekodkan kelajuan 454 km/j.
Axelsen pula menduduki kedudukan keempat dengan pukulan smash dengan kelajuan 441.9 km/j. Bekas pemain nombor satu dunia itu turut berada dalam kelompok tiga pemain terbaik yang memiliki pukulan smash paling laju dalam saingan China Open 2024.
Axelsen berada di tempat ketiga dengan pukulan selaju 456.4 km/j. Zii Jia pula di tangga kelima dengan pukulan selaju 437.5 km/j.
Zii Jia bukan satu-satunya pemain Malaysia yang disebut oleh Antonsen. Juara Denmark Open 2024 itu turut memilih legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai pemain yang memiliki aspek pertahanan terbaik di gelanggang.