Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia bakal ucap selamat tinggal buat jurulatih beliau, Wong Tat Meng.
Menerusi satu kenyataan oleh Team LZJ, mereka menerima keputusan Tat Meng dengan berat hati untuk memilih haluan baharu dalam kerjaya beliau.
“Dengan hati yang berat dan penuh rasa terima kasih, Team LZJ menerima keputusan Pengarah Kejurulatihan, Wong Tat Meng bagi meneruskan fasa baharu dalam kerjaya kejurulatihannya,” umum Team LZJ.
Sepanjang membimbing Lee Zii Jia, beliau telah membantu pemain kelahiran Kedah ini merangkul pelbagai kejuaraan terutamanya memenangi pingat gangsa di Olimpik Paris yang lalu.
“Sejak menyertai pasukan pada Julai 2023, Coach Tat Meng telah memainkan peranan penting dalam membimbing Lee Zii Jia kembali ke kedudukan 10 teratas dunia, memenangi kejuaraan, dan membawa pulang Pingat Gangsa Olimpik dari Paris 2024.”
Walau bagaimanapun, Tat Meng akan meneruskan khidmat beliau bersama Zii Jia sehinggalah tempoh kontrak tamat pada penghujung Disember dan aksi di World Tour Finals minggu hadapan bakal menjadi kejohanan terakhir mereka bersama.
“Coach Tat Meng akan terus berkhidmat bersama Team LZJ sehingga kontraknya secara rasmi tamat pada 31 Disember 2024 dan kini sedang membuat persiapan untuk BWF World Tour Finals yang akan datang.”
Team LZJ sempat menzahirkan penghargaan buat Tat Meng atas segala usaha keras beliau dan bakal mengumumkan jurulatih baharu pada masa yang sesuai untuk persiapan ke Olimpik edisi akan datang.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Coach Tat Meng atas kerja keras, dedikasi, dan kebijaksanaan serta bimbingannya sepanjang tempoh beliau bersama Team LZJ.”
“Team LZJ akan melantik pengganti Coach Tat Meng dan pengumuman akan dibuat pada masa yang sesuai. Pasukan juga sedang bersiap sedia untuk permulaan musim 2025 dengan mengambil kira kitaran Olimpik yang seterusnya.”