Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao sedia berdepan tekanan beraksi di gelanggang sendiri menjelang saingan Malaysia Open 2025.
Jun Hao menjadi satu-satunya wakil perseorangan lelaki negara dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 itu. Ini susulan keputusan Lee Zii Jia menarik diri daripada menyertai Malaysia Open 2025.
Zii Jia berbuat demikian kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan ligamen buku lali yang dialaminya dalam saingan BWF World Tour Finals 2024.
Jun Hao mengakui sedar dengan tekanan yang akan dihadapinya apabila Malaysia Open 2025 membuka tirai pada 7 Januari ini.
Pada masa sama, beliau bersedia menghadapinya dengan bantuan jurulatih, K. Yogendran dan Kenneth Jonassen.
“Tekanan itu ada kerana saya satu-satunya (wakil dalam acara perseorangan lelaki). Saya akan bincang dengan jurulatih bagaimana untuk mengurangkan tekanan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
“Saya fikir tekanan itu ada di mana-mana, baik di sini atau di luar negara tetapi di sini tekanan lebih tinggi dan saya harap dapat mengurangkannya.”
Jun Hao bakal berdepan jaguh China, Lu Guang Zu pada pusingan pertama kejohanan. Sekiranya berjaya melepasi cabaran tersebut, pemain berusia 25 tahun itu bakal berdepan pilihan pertama kejohanan, Shi Yuqi di pusingan kedua.