Pemain beregu lelaki China, Liang Wei Keng mencipta sejarah tersendiri dalam final saingan Orleans Masters 2025.
Ini kerana Wei Keng merekodkan pukulan smesy kedua terpantas di dunia iaitu 497 kilometer sejam (km/j). Pukulan itu dibuat dalam aksi set ketiga menentang beregu Korea Selatan, Kang Min-hyuk-Ki Dong Ju.
Walau bagaimanapun, smesy yang dilakukan Wei Keng gagal mengatasi rekod dunia yang dilakar jaguh beregu lelaki dari India, Satwiksairaj Rankireddy.
Rankireddy merekodkan smesy selaju 550 (km/j) dalam aksi Korea Open 2023. Ini menjadikan Wei Keng pemain yang paling hampir meleburkan rekod jaguh India itu.
Meskipun begitu, rekod tersebut tidak dapat membantu jaguh China itu dan rakan gandingannya, Wang Chang meraih kemenangan di pentas final Orleans Masters.
Ini kerana mereka terpaksa akur dengan kehebatan Min-hyuk-Dong-ju dengan keputusan 13-21, 21-18, 18-21.
Kekalahan ini menyaksikan Wei Keng-Wang Chang masih tercari-cari kejuaraan pertama mereka untuk tahun 2025.