Saingan bola sepak utama Belanda, Eredivisie dikejutkan dengan dakwaan kelab NAC Breda berhubung status seorang pemain warisan Indonesia.
Semua ini bermula apabila Breda dibelasah Go Ahead Eagles 6-0 dalam perlawanan yang berlangsung pada 15 Mac lalu.
Antara pemain yang beraksi untuk Go Ahead Eagles dalam perlawanan itu ialah bek kiri Indonesia, Dean James. Susulan itu, Breda telah menghantar sepucuk surat kepada Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB).
Kelab itu mendakwa James sepatutnya didaftarkan sebagai pemain bukan Kesatuan Eropah (EU) untuk saingan Eredivisie. Ini kerana beliau tidak dibayar gaji mengikut peraturan liga utama Belanda itu.
Mengikut peraturan Eredivisie, pemain bukan EU yang berusia 20 tahun ke atas perlu menerima gaji 150% lebih tinggi daripada gaji purata pemain liga itu. Ini bermakna mereka akan menerima gaji tahunan yang tinggi.
Atas sebab itu, Breda berhujah bahawa James sepatutnya didaftarkan sebagai pemain bukan EU. Ini kerana pemain berusia 25 tahun itu mewakili Indonesia di peringkat antarabangsa.
Seandainya permohonan Breda diterima KNVB, kelab itu memohon ulangan semula aksi liga menentang Go Ahead Eagles.
KNVB kemudiannya memaklumkan disebabkan isu yang rumit, badan induk bola sepak Belanda itu mahu mengambil masa menilai semua faktor sebelum membuat sebarang keputusan.
Yang pasti, sebarang keputusan oleh KNVB dijangka memberi kesan kepada pemain warisan Indonesia lain yang beraksi di Eredivisie. Antaranya Justin Hubner, Mees Hilger dan Miliano Jonathans.
Satu nama yang dijangka tidak terkesan ialah penjaga gol utama Indonesia, Maarten Paes. Selepas menyertai Ajax Amsterdam, bekas penjaga gol FC Dallas itu didaftarkan sebagai pemain bukan EU.