Liverpool layak secara merit ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Europa selepas membelasah wakil Austria, LASK Linz 4-0 di Anfield hari ini.
Selepas tewas kepada Toulouse dalam aksi keempat kumpulan, The Reds tidak mahu dirundung kecewa lebih-lebih lagi di hadapan penyokong sendiri.
Kesebelasan utama Liverpool diketuai penyerang Mohamed Salah mula mengasak LASK sejak wisel permulaan ditiup.
Dan mereka tidak menunggu lama untuk berada di hadapan pada minit ke-12 menerusi Luis Diaz. Tiga minit kemudian, Cody Gakpo menggandakan kelebihan tuan rumah.
Liverpool terus mendominasi perlawanan tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah semakin bernafsu menambah koleksi gol mereka.
Hasilnya, Liverpool dianugerahkan sepakan penalti apabila Gakpo dijatuhkan dalam kotak penalti. Salah tenang menewaskan penjaga gol LASK, Tobias Lawal pada minit ke-51.
Gol tersebut merupakan gol ke-199 penyerang Mesir itu bersama The Reds sejak menyertai pasukan itu pada 2017.
LASK berusaha memastikan gawang mereka tidak bocor lagi. Bagaimanapun, Gakpo memastikan malam gemilang Liverpool dengan gol keempat pada minit ke-94.
Kemenangan ini memastikan The Reds layak ke pusingan 16 terbaik dengan baki satu perlawanan dalam Kumpulan E.
Sofascore memilih Gakpo sebagai pemain terbaik perlawanan dengan penyerang Belanda itu menerima markah 9.6 mata.
Kini, fokus Liverpool beralih kepada perlawanan EPL menentang Fulham yang berlangsung pada Ahad ini.