Liga Super: 10 Pemain Selangor Ikat Terengganu
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor mengikat pasukan Terengganu dengan keputusan 1-1 dalam aksi minggu ke-17 saingan Liga Super 2025/26 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Ahad.

Sang Penyu mempertaruhkan Rahadiazli di posisi penjaga gol, Careca sebagai kapten pasukan, manakala penyerang import baharu, Gervane Kastaneer menjadi sandaran utama di jentera serangan.

Selangor pula meletakkan Kalamullah Al-Hafiz sebagai benteng terakhir, Faisal Halim memimpin pasukan selaku kapten, manakala gandingan berbisa, Chrigor Moraes & Alvin Fortes dijadikan ayam tambatan serangan.

Kedua-dua pasukan dilihat memulakan perlawanan dengan tempo yang tinggi bagi memburu jaringan pembukaan.

Gervane Kastaneer hampir membuka akaun jaringan aksi pada minit ke-15 menerusi tandukan namun gagal menepati sasaran gawang pasukan The Red Giants.

Akhyar Rashid menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-19 hasil kesilapan pertahanan Selangor, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapati beliau melakukan kekasaran terhadap pemain The Red Giants.

Gervane Kastaneer sekali lagi mengancam gawang Selangor menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti, namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol pelawat, Kalamullah Al-Hafiz, pada minit ke-31.

Selangor turut melakukan beberapa percubaan menerusi Faisal Halim & Alvin Fortes namun gagal menemui kubu pasukan tuan rumah.

Careca merobek gawang pasukan Selangor menerusi rembatan kencang kaki kiri dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-42, sekali gus menggegarkan ribuan penyokong tuan rumah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Terengganu.

Bersambung ke babak kedua, Selangor dilihat meningkatkan intensiti perlawanan bagi mencari gol penyamaan aksi.

Selangor turut melakukan penggantian pemain dengan mengeluarkan Noor Al-Rawabdeh dan memasukkan pemain import baharu, Hugo Boumous pada awal babak kedua aksi.

The Red Giants tampak terus menerus menguasai perlawanan dengan melakukan lambakan percubaan berbahaya menerusi Faisal Halim.

Faisal Halim meledak gol penyamaan perlawanan pada minit ke-57 sekali gus memberikan kelegaan kepada penyokong-penyokong & kem pasukan Selangor.

Hugo Boumous dilayangkan kad merah pada minit ke-73 hasil terjahan keras kepada pemain import baharu Terengganu, Gervane Kastaneer.

Engku Shakir melepaskan satu rembatan kencang dari luar kawasan kotak penalti pada minit ke-77 namun ketangkasan penjaga gol Selangor, Kalamullah harus diberi pujian.

Chrigor Moraes hampir memberikan gol kedua The Red Giants pada penghujung separuh masa kedua namun percubaan beliau berjaya diselamatkan oleh Rahadiazli Rahalim.

Aksi antara pasukan Terengganu dan Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berakhir dengan keputusan 1-1 pada hari Ahad.