Advertisement
Liga Super: Gandingan Bergson & Forestieri Pacu JDT Benam Kelantan United
Liga Super
MakanBola
Johor Southern Tigers

Aksi LS10 saingan Liga Super 2023 hari ini menemukan pertembungan antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan United. JDT tampil cemerlang di laman sendiri apabila berpesta jaringan di Stadium Sultan Ibrahim.

Babak pertama perlawanan menyaksikan JDT mendahului 2-0 dihadapan. Jaringan pembukaan hadir menerusi penyerang berbisa, Bergson Da Silva pada minit kelapan permainan dengan satu percubaan cantik, meroket terus ke gawang Kelantan United.

Pada minit ke-22 permainan, giliran penyandang gelaran penjaring terbanyak Liga Super, Fernando Forestieri pula untuk meledak. Forestieri memastikan gol kedua buat JDT dan mendahului aksi separuh masa pertama dengan penuh bergaya.

Bersambung babak kedua permainan, JDT terus ghairah menyerang mencari gol tambahan.

Dalam tempoh 10 minit permainan, Bergson Da Silva berjaya melengkapkan hatrik buat dirinya. Gol ketiga JDT hadir menerusi serangan balas yang dimulakan Forestieri seterusnya dinatijahkan Bergson dengan satu cip menewaskan penjaga gol Kelantan United, Asyraaf Omar.

Pada minit ke-69 permainan, Fernando Forestieri telah dijatuhkan di dalam kawasan kotak penalti. Bergson Da Silva tenang menggalas tanggungjawab, memastikan penalti tersebut disempurnakan dengan baik.

Pertahanan Kelantan United, Fauzan Fauzi telah mengasari Bergson di dalam kawasan penalti pada minit ke-75 permainan. Leandro Velazquez memastikan malam gemilang JDT terus lengkap, untuk jaringan kelima Harimau Selatan.

Sebelum wisel penamat ditiupkan, Fernando Forestieri memanfaatkan tiga minit masa tambahan yang diberikan untuk gol keenam buat skuad kendalian Esteban Solari. Perlawanan tamat, JDT terus konsisten mencatat 10 perlawanan dengan kemenangan, menundukkan Kelantan United 6-0.

Aksi seterusnya menyaksikan JDT akan terbang ke bumi Sarawak berdepan Kuching City pada 19 Mei sementara Kelantan United akan melayan kunjungan KL City pada Sabtu, 20 Mei 2023.