Advertisement
Liga Super: Gol Dramatik Bantu Kedah Ikat Perak
Liga Super
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Gol dramatik minit akhir perlawanan memastikan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencuri satu mata daripada Perak FC dalam aksi terbaru Liga Super.

Selepas tersingkir di pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2024/25, tumpuan Victor Andrag kini memburu kemenangan pertama buat Sang Kenari sejak 19 Oktober lalu.

The Bos Gaurus yang segar daripada kejayaan mara ke suku akhir turut memiliki misi sama selepas kali terakhir melakukannya pada 28 September lalu.

Syafiq Ahmad menjadi pilihan Victor untuk mengetuai jentera serangan Kedah. Ketajaman penyerang import Brazil, Clayton terus ditagih pengendali Perak, Yusri Che Lah untuk merobek gawang pelawat.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

Bek tengah Filipina, Jesper Nyholm hampir meletakkan The Bos Gaurus di hadapan pada minit ke-12. Malangnya, rembatan deras beliau berjaya diselamatkan penjaga gol Sang Kenari, Wan Syazmin Wan Ruzaimi.

Bekas pemain sayap kebangsaan, Wan Zack Haikal turut mencuba pada minit ke-35. Walau bagaimanapun, rembatan bekas pemain sayap FC Ryukyu itu hanya melepasi bahagian palang.

Milos Gordic hampir mengejutkan Perak menerusi percubaan pada minit akhir perlawanan tetapi dinafikan oleh palang gol. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Yusri memasukkan Firdaus Saiyadi untuk menambah kreativiti di bahagian serangan.

Clayton hampa apabila rembatannya pada minit ke-63 gagal menepati sasaran selepas menerima hantaran Nur Azfar Fikri Azhar.

Enam minit selepas itu, tuan rumah dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Mohd Fusser Mad Sallih. Ini selepas pegawai VAR bertugas, Nazmi Nasaruddin memaklumkan Loqman Hakim Marzuki dikesan menolak Clayton dalam kotak penalti.

Bekas penyerang Vasco da Gama itu tenang menewaskan Wan Syazmin untuk meletakkan Perak di hadapan pada minit ke-71.

Gordic hampir menyamakan kedudukan buat Kedah menerusi tandukan lambung pada minit ke-83. Percubaan penyerang Serbia itu berjaya ditangkap kemas penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli.

Tatkala Perak sudah bersedia meraikan kemenangan, Amirul Hisyam Awang Kechik memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 menerusi rembatan deras pada minit ke-92.

Keputusan ini menyaksikan Perak menghuni tangga ketujuh liga dengan 18 mata, enam mata di belakang Terengganu. Kedah pula kekal di tangga ke-10 dengan 14 mata.

Selepas ini, Perak akan menentang Selangor pada 17 Disember. Kedah pula melayan kunjungan Penang FC pada 18 Disember.