Advertisements
Liga Super: Gol Saat Akhir PDRM Pastikan Perak Tersungkur Kali Kedua
Liga Super
MakanBola
Perak FC

PDRM meraih kemenangan pertama setelah menewaskan Perak dalam aksi yang cukup sengit di gelanggang Ipoh untuk aksi kedua Liga Super 2024/2025.

Yusri Che Lah menurunkan skuad terbaik yang dibarisi pemain seperti Haziq Nadzli, Shivan Pillay, Azalinullah Alias, Tommy Mawat dan Luciano Guaycochea selaku kapten pasukan.

PDRM pula mempertaruhkan pemain berpengalaman seperti Bruno Suzuki, Fadi Awad, Ifedayo Olusegun manakala Amir Saiful Badeli memegang lilitan kapten pasukan.

Perak tidak menunggu lama apabila Tommy Mawat membuka tirai jaringan seawal minit ke-9 perlawanan menerusi rembatan kencang yang tidak mampu diselamatkan penjaga gol PDRM, Bryan See.

Pasukan kendalian P. Maniam kemudian dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Muhammad Munir Mohd Izam selepas Kamal Arif Shakimar menjatuhkan Ifedayo Olusegun namun semakan daripada VAR telah membatalkan sepakan penalti tersebut.

PDRM kemudian menyamakan kedudukan menerusi tandukan daripada Ifedayo Olusegun pada minit ke-24 setelah pemain tersebut tidak dikawal oleh pemain Perak dalam kawasan penalti.

Giliran Perak pula dihadiahkan sepakan penalti setelah bola didakwa terkena tangan pemain PDRM pada minit ke-33 namun VAR sekali lagi membatalkan sepakan penalti setelah mendapati bola tersebut hanya terkena bahu pemain PDRM.

Kedudukan 1-1 antara Perak dan PDRM kekal sehingga tamat aksi separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, masing-masing cuba menggandakan asakan namun kerap kali cubaan serangan tersebut gagal dan berjaya dihalang oleh penjaga gol lawan.

Bruno Suzuki kemudian muncul penjaring kedua PDRM apabila menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-73 sekaligus memberikan tekanan kepada Perak.

Pemain gantian, Wan Zack Haikal menceriakan penyokong The Bos Gaurus apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-88 perlawanan menerusi bola muntah penjaga gol PDRM.

Ifedayo Olusegun kemudian menjaringkan gol minit akhir untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PDRM.

Perlawanan tamat dengan PDRM menewaskan Perak 3-2 untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super.

Perak seterusnya akan turun menentang Kedah Darul Aman dalam derbi utara pada 24 Mei kelak manakala PDRM akan bertemu Penang pada 25 Mei untuk aksi ketiga Liga Super.