Hatrik Bergson da Silva membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 6-1 di Stadium Darul Aman.
Kedah berharap dapat mengakhiri tiga kekalahan yang dialami dalam tiga aksi terakhir liga. JDT pula terus bernafsu memburu kemenangan meskipun sudah sah bergelar juara untuk musim 2024/25.
Natxo Insa berada di bangku simpanan JDT selepas pulih daripada kecederaan. Ebenezer Assifuah mengetuai jentera serangan Kedah.
Separuh masa pertama menyaksikan Sang Kenari hampir membuka tirai jaringan menerusi Fayadh Zulkifli pada minit ke-13. Malangnya, rembatan beliau hanya mengenai bahagian tepi gawang JDT.
Percubaan itu mendorong Harimau Selatan meningkatkan asakan untuk memburu gol pendahuluan. Hasilnya, Bergson meletakkan pelawat di hadapan empat minit selepas itu.
Penyerang kebangsaan, Romel Morales menggandakan kelebihan JDT pada minit ke-18 selepas menyudahkan hantaran Bergson.
JDT kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Nazmi Nasaruddin. Ini selepas Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman dikesan menjatuhkan Oscar Arribas dalam kotak penalti.
Penalti tersebut mudah disempurnakan Bergson untuk gol ke-25 dalam Liga Super musim ini pada minit ke-23.
Kedah kemudiannya mendapat talian hayat menerusi Afeeq Iqmal Rosli. Selepas berjaya mengumpan Syihan Hazmi Mohamad keluar dari gawang, beliau melambungkan bola ke dalam gawang JDT yang kosong pada minit ke-33.
JDT berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada separuh masa kedua, Kedah mengubah rentak dengan melancarkan serangan balas pantas.
Taktik tersebut menyebabkan barisan pertahanan Harimau Selatan bukan saja bekerja keras menyekat setiap pergerakan pemain tuan rumah.
Malah, empat pemain pertahanan JDT iaitu Arribas, Jordi Amat, Matt Davies dan Park Jun-heong turut mendapat layangan kad kuning daripada Nazmi.
Amat menambah gol keempat pada minit ke-61. Beliau melakukan tandukan jarak dekat melepasi Ifwat Akmal Chek Kassim.
Situasi ini mendorong Victor Andrag memasukkan Milos Gordic, Kamal Hakim Abd Halim, Danial Termizi dan Aiman Farhan Muhamad Fauzi.
Pemain gantian, Nazmi Faiz Mansor mencetak nama sebagai penjaring menerusi gol kelima pada minit ke-83. Rembatan beliau terkena Wan Amirul Afiq sebelum terus menerjah jaring.
Bergson mencipta hatrik dengan menyempurnakan hatrik pada minit akhir perlawanan. Ini selepas Mohamadou Sumareh dijatuhkan dalam kotak penalti.
Harimau Selatan terus memberi tekanan kepada Sang Kenari tetapi keputusan 6-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan JDT dan Kedah masing-masing kekal di tangga pertama dan ke-11 liga dengan 64 dan 20 mata.
Selepas ini, Kedah akan menentang Sri Pahang FC pada 8 April. JDT pula bersiap sedia melayan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 10 April.